HASAD dengki dan dendam kadang kala mampu membuat manusia hilang pertimbangan.
Bukan sesuatu yang menghairankan apabila ada yang sanggup berbuat apa sahaja walau perlu menganiaya orang lain tanpa belas kasihan.
Itulah kisah benar yang dikongsi seorang pengguna di laman Threads, mengenai pengalaman bapanya yang pernah terbabit dalam satu kes pelik ketika bertugas sebagai anggota polis kira-kira 14 tahun lalu.
Menurut individu berkenaan, bapanya yang ketika itu bertugas dalam bahagian siasatan menyiasat kes kecurian di kedai peralatan memancing yang dimiliki oleh seorang tauke berbangsa Cina.
ARTIKEL BERKAITAN: “Itu tangkal... ada khadamnya, jin!” - Pemuda beli dompet ‘bundle’ jumpa lipatan kain kuning bertulisan jawi, ramai suruh hapuskan
Barang yang hilang bukan sedikit, kebanyakannya joran dan aksesori pancing yang mahal.
"Abah saya memang kaki pancing, jadi dia selalu ke kedai tu. Bila tauke tahu abah polis, dia terus minta tolong carikan pencuri," tulisnya.
Bapanya kemudian memulakan siasatan namun anehnya, tiada kesan pecah masuk ditemui.
"Kunci kedai pun tauke je pegang, tapi pelik ada barang hilang. CCTV tak ada, sebab kedai kampung," kongsinya lagi.
Tidak berpuas hati, bapanya memeriksa keseluruhan kedai yang binaannya separuh batu dan separuh papan itu.

Kes kecurian tersebut rupa-rupanya didalangi salah seorang pekerja kedai. -Gambar hiasan AI
"Abah panggil pekerja, suruh buka papan tu dan nampak ada kesan orang ceroboh, nampaknya memang dah lama kerja ni.
"Dia buka sikit-sikit, bila nak curi, dia masuk. Dan papan tu boleh tutup semula, tak nampak macam kena ceroboh.
"Kedai tersebut mempunyai dua pekerja. Seorang lelaki orang kelainan upaya yang digelar Pendek, manakala seorang lagi bekas penagih... keluarganya bomoh.
"Dari situ, semua mula menaruh syak terhadapnya lebih-lebih lagi dia enggan buat ujian air kencing," kongsinya.
Dipendekkan cerita, ketika siasatan sedang berjalan, pekerja digelar Pendek ditemukan mati dalam kedai berhampiran kaunter.
Ujarnya, hasil bedah siasat mengesahkan tiada unsur jenayah dan punca kematian diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Bukan setakat itu, pelbagai kejadian aneh berlaku selepas kematian Pendek.
"Pekerja yang disyaki terus berhenti kerja. Tidak lama kemudian, abah pula terlibat dalam kemalangan motosikal hingga kaki cedera teruk... doktor cadangkan agar kakinya dipotong kerana komplikasi kencing manis.
"Tapi abah kata sakitnya pelik, macam ada orang hisap darah," tulisnya lagi.

Umat Islam dilarang terlibat dengan perbuatan khurafat. -Gambar hiasan
Lebih mengejutkan, beberapa bulan selepas itu, tauke kedai pancing pula dilaporkan meninggal dunia dan sejak kematiannya, kedai berkenaan terus ditutup dan tidak beroperasi lagi.
Menurut individu itu, ia kemudian bertukar tangan kepada pemilik lain yang menjadikannya sebagai kedai makan.
"Tapi selalu bankrap... banyak kali dah orang buka kedai makan tapi tiga kali dah tutup, tukar owner," ujarnya.
Namun tak lama kemudian, misteri kehilangan barang akhirnya terjawab apabila pekerja yang selama ini disyaki, mengaku mencuri,
Walaupun kes kecurian selesai, dua kematian yang berlaku kekal misteri.
"Kalau betul ada unsur sihir, cepat atau lambat, pasti ada kifarahnya.
"Harap kalau kedai tu ada owner baru, bersihkanlah tempat tu. Takut ada 'benda' tertanam di kawasan tu, sampai orang lain pun terjejas. Ingat, rambut sama hitam, hati lain-lain.
"Kita tak tahu... dendam kesumat, sebab malu dengan tindakan mencuri," akhirinya.


