MENYESALI tindakannya, pelakon Farid Kamil sudah pun membuat permohonan maaf kepada Datuk Jamal Abdillah selepas terlanjur cakap memetik nama penyanyi tersebut dalam satu rakaman podcast sehingga menerima kecaman ramai.
Kata Farid atau Farid Kamil Zahari, 44, penyanyi legenda itu juga sudah membaca mesej yang dihantar, namun sehingga kini masih belum menerima respons balas.
“Sejujurnya video itu saya telah arah untuk turunkan kerana keterlanjuran saya bercakap. Saya menyesali jalan cerita yang saya kongsikan itu.
“Saya sudah pun berhubung dengan Datuk untuk penjelasan dan permohonan maaf. Dia sudah baca, tetapi tiada respons. Saya akui silap,” katanya kepada mStar.
Farid berkongsi perkara itu ketika ditemui semasa sesi sidang media selepas Majlis Tayangan Perdana Filem Telaga Suriram di Dadi Cinema Pvillion, Kuala Lumpur pada Khamis.
Sebelum ini, tular satu video temu bual Farid Kamil yang memetik nama Jamal dan ia dikaitkan dengan barangan terlarang.
Dalam perkembangan lain, Farid membintangi filem Telaga Suriram yang bakal ditayangkan bermula 1 Mei ini.
Selain Farid, ia turut dibintangi oleh Nabila Huda, Maya Karin, Ellie Suriaty, Scha Alyahya dan ramai lagi.
TONTON VIDEO TEMU BUAL DISEDIAKAN MSTAR INI