DIMINTA menjual produk menerusi siaran langsung, anak kepada usahawan Datuk Seri Aliff Syukri iaitu Ammar Ahyan mengakui melakukan perkara itu atas dasar terpaksa.
Ammar, 17, bagaimanapun menjelaskan dia tetap meneruskan usaha itu kerana menganggap ia turut memberi kebaikan dan keuntungan buat dirinya.
“Saya memang tidak selesa untuk berniaga, tetapi saya tidak kisah tentang itu kerana ia merupakan satu kebaikan untuk diri saya sendiri. Apa yang membuatkan saya bersemangat adalah kerana jika saya tidak lakukan (berniaga), nanti saya akan dimarahi.
“Bagi saya, ia memberi manfaat kepada saya juga. Tiada ayah yang mahu melihat anaknya berada di bawah tahap dirinya. Jadi, kalau saya bekerja keras dari awal, nanti saya tidak perlu berusaha terlalu kuat lagi,” katanya.
Dalam pada itu, mengulas mengenai kenyataannya yang mahu menceburi bidang politik, Ammar menjelaskan perkara itu bukanlah cita-cita utamanya.
“Saya tidak mahu menjadikan bidang politik sebagai kerjaya utama saya. Saya mahu menjadi pemimpin apabila saya sudah memiliki kerjaya dan kehidupan yang stabil, barulah saya akan masuk ke dalam bidang kepimpinan,” jelasnya.
TONTON VIDEO TEMU BUAL YANG DISEDIAKAN MSTAR INI