PELAKON Uqasha Senrose menepis dakwaan netizen mengatakan adik iparnya iaitu Hafez Halimi membeli darjah kebesaran membawa gelaran Datuk yang diterima pada Sabtu lalu.
Jelas Uqasha atau nama sebenarnya Nik Zaris Uqasha Nik Sen, 33, suami kepada Nelydia Senrose itu sememangnya layak menerima gelaran tersebut atas sumbangannya kepada masyarakat menerusi sektor perumahan dan pembangunan.
"Yang dapat gelaran Datuk adalah suami dia (Nelydia) dan automatik dia dapat Datin. Jadi, apabila saya baca ada yang cakap Datuk itu dibeli dan sebagainya, apa yang saya boleh cakap, suami dia memang seorang usahawan.
"Adik ipar saya juga berdarah kerabat Terengganu dan dia banyak terbabit dalam projek sektor perumahan dan pembangunan. Atas dasar sumbangan itulah darjah kebesaran diberi," katanya.
Uqasha memaklumkan perkara tersebut semasa sidang media tayangan perdana bagi filem Munajjim: Sekutu Iblis pada Isnin.
Selain Uqasha, bintang yang turut menjayakan filem tersebut adalah Farid Kamil, Mustaqim Bahadon, Sherie Merlis dan ramai lagi.
TONTON VIDEO TEMU BUAL YANG DISEDIAKAN MSTAR INI