SELEPAS tular video nyanyiannya bersama Biduanita Negara Datuk Seri Siti Nurhaliza baru-baru ini, nama Ahmad Dayyan terus menjadi perhatian ramai di media sosial.
Malah, ada yang beranggapan kemerduan suara Ahmad, 13, lebih menyerlah berbanding kakaknya, Umairah yang juga berbakat dalam bidang nyanyian.
Bagaimanapun, Ahmad tidak mengambil serius pujian tersebut sebaliknya menegaskan bakat mereka berdua adalah seimbang tanpa perlu dibandingkan
“Kakak (Umairah) selalu pesan dekat saya untuk buat yang terbaik dan dia sentiasa sokong daripada belakang. Ada yang badningkan, tetapi bagi saya sama sahaja.
“Tiada siapa yang lebih popular. Walaupun ada yang bandingkan, tetapi bagi saya kami sama sahaja. Tiada yang lebih atau kurang,” katanya kepada mStar.
Dalam masa sama, Ahmad turut mendedahkan dia pernah aktif dalam sukan sepak takraw dan mewakili negeri Kuala Lumpur ke peringkat kebangsaan sebelum memilih untuk fokus dalam bidang nyanyian.
“Saya sekolah sukan di Tititwangsa. Saya pernah mewakili Kuala Lumpur di MSSM (Majlis Sukan-Sukan Malaysia). Kalau dulu saya minat main takraw, tetapi sekarang bila tukar, saya minat menyanyi pula,” ujarnya.
TONTON VIDEO TEMU BUAL YANG DISEDIAKAN MSTAR INI